Your Ad Here

Nov 3, 2009

Piala Malaysia 2009: 15,000 tiket sudah ditempah

KOTA BHARU - Bagi memberi kemudahan kepada penyokong Kelantan, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mula dijual di Stadium Sultan Muhamad Keempat Kota Bharu mulai tengah hari ini.

Melalui kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), buat permulaan, sejumlah 20,000 tiket diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk jualan di negeri ini.


Namun, sejumlah 15,000 tiket telah ditempah secara pukal oleh beberapa badan dan pemimpin masyarakat dari seluruh negeri untuk diagih-agihkan kepada ahli dan orang ramai di kawasan mereka.


Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Mohd Nor Yaakob memberitahu, pihaknya akan berusaha mendapatkan tiket tambahan supaya ia dapat dijual berterusan kepada penyokong tempatan sehingga Khamis atau selewat-lewatnya Jumaat ini.


''FAM telah menetapkan harga tiket perlawanan sebanyak RM20 dan dengan sambutan begitu hebat, kita jangkakan lebih banyak tiket diperlukan dan permintaan umum akan cuba dipenuhi.


''Usaha ini dilakukan supaya penyokong di negeri ini tidak bersusah payah mendapatkannya di Bukit Jalil pada hari perlawanan Sabtu ini (7 Nov. 2009)," katanya di sini, semalam.


Menurut beliau, bagi jualan di kaunter, Kafa hanya membenarkan setiap penyokong membeli tiga keping tiket.


Beliau menganggarkan penyokong Kelantan termasuk di Lembah Kelang akan memenuhi separuh daripada ruang Stadium Bukit Jalil kelak dalam menyaksikan perlawanan yang amat bersejarah bagi rakyat dan negeri ini.


''Ia menjadi permulaan kepada kebangkitan semula Kelantan dalam arena bola sepak tanah air setelah hampir empat dekad tidak berpeluang ke perlawanan akhir," ujarnya.


Sekiranya Kelantan berjaya menumpaskan Negeri Sembilan dan membawa pulang piala berprestij itu, banyak ganjaran menunggu mereka kelak.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP