Your Ad Here

Oct 7, 2009

Piala Malaysia mula diburu

Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, semalam menyaksikan beberapa pasukan pilihan berpesta gol dengan menang jaringan besar.

Pasukan yang menang bergaya adalah Terengganu, Perak, Perlis, Johor FC, Selangor Kedah dan Kuala Muda Naza.


Pasukan yang mencatat kemenangan paling besar, semalam adalah Terengganu yang membelasah Sarawak 7-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Bagaimanapun kejayaan Terengganu itu masih meletakkan kedudukan mereka di bawah Negeri Sembilan yang terus mencatat kemenangan buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Johor 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk mengungguli Kumpulan B.


Perak pula merampas teraju Kumpulan C daripada Johor FC dengan membelasah UPB-MyTeam 6-1 di Stadium Perak dengan Razali Umar Kandasamy dan Azrul Azran Aminuddin masing-masing menyumbang dua gol.


Johor FC walaupun turut mencatat kemenangan yang agak besar iaitu 4-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium JCorp, Pasir Gudang tetapi terpaksa akur dengan kelebihan perbezaan jaringan yang dimiliki Perak.


Perlis pula membelasah Melaka 5-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar dengan Nizaruddin Yusof menyumbat dua gol di samping masing-masing satu gol menerusi Azmizi Azmi, Mohd. Badrul Azam Zamri dan Mohd. Firdaus Fauzi.


Bagaimanapun, kemenangan itu gagal membantu Perlis memintas KL Plus yang terus menerajui Kumpulan A hasil kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP